Fatwa Kebangsaan
  • Pada Mei 1996, Majlis Fatwa menarik balik kebenaran mengamalkan mazhab Syiah aliran Al–Zaidiyah dan Jaafariah di Malaysia, menjadikan semua amalan Syiah tidak diterima di negara ini. Fatwa juga menetapkan umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam. Penyebaran apa-apa ajaran selain daripada pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang. Penerbitan, penyiaran dan penyebaran sebarang buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.

Fatwa  Negeri
  • PERLIS, 2010 - Umat Islam (Ahli Sunnah Wal Jamaah) tidak digalak mengahwini penganut ajaran Syiah.
  • SELANGOR - Fahaman Syiah  didapati menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang berlandaskan Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam yang menganut fahaman ini hendaklah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Beberapa penjelasan dan ciri ajaran Syiah yang bertentangan dengan ajaran Sunnah Wal Jamaah diberikan berhubung keputusan ini termasuk kepercayaan Syiah bahawa imam adalah maksum, iaitu sama seperti nabi-nabi, menyanjung Saidina Ali secara berlebih-lebihan hingga sama taraf dengan Rasulullah SAW dan menambah kalimah Syahadah dengan nama Ali.
  • KELANTAN, 1996 - Umat Islam di Kelantan hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Ini adalah kerana ajaran Syiah jelas seleweng dari segi akidah, syariah dan akhlak.
  • TERENGGANU, 1997 - Umat Islam di negeri Terengganu hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dari segi aqidah, syariah dan akhlak. Penerbitan dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah haram.
  • KUALA LUMPUR, 1997 - Menyokong pemansuhan keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa pada 24 dan 25 September 1984 yang menyatakan bahawa hanya mazhab Syiah dari golongan Al-Zaidiyah dan Jaafariah diterima untuk diamalkan di Malaysia
  • SARAWAK, 1996 - Semua mazhab Syiah dari golongan apa pun tidak boleh diterima untuk diamalkan oleh orang Islam di Sarawak. Umat Islam di Sarawak hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
  • PULAU PINANG, 1997 - Ajaran dan fahaman Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menjadi ancaman kepada perpaduan ummah, keutuhan agama, perpaduan bangsa dan keamanan negara. Fahaman dan ajaran ini perlu disekat keseluruhannya daripada berkembang di Pulau Pinang.
*Untuk keterangan dan hujah bagi setiap keputusan fatwa, sila rujuk www.e-fatwa.gov.my

Dapatkan laporan penuh dalam Sinar Harian edisi 18 Jun 2012 (Isnin)